Tauke auto
'Biar untung sikit, asal tak rugi'
BERMULA dengan menjual sebuah kereta terpakai dan bermodalkan RM3,000, Zamanila Tukimin, 40, atau lebih dikenali sebagai Shiella kini mempunyai 10 kali ganda daripada jumlah itu untuk terus mengembangkan perniagaan kereta terpakainya.
Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini. Daripada pinjaman modal
yang kecil, saya berjaya besarkan perniagaan dengan bantuan pinjaman
Amanah Ikhtiar Malaysia tanpa perlu buat kertas kerja dan syarat yang
sukar dipenuhi. - Zamanila Tukimin (Shiella), Ahli perniagaan
Hampir sebulan mencari pelanggan, akhirnya kereta itu berjaya dijual
pada harga RM6,000. Hasil jualan itu diguna membeli dua lagi kereta.
Kali ini Shiella tidak perlu menunggu lama, sebaliknya dalam tempoh dua
minggu dua kereta berkenaan dapat dijual. Menggunakan hasil jualan itu sekali lagi, Shiella membeli kereta terpakai dengan jumlah berganda dan menjualnya. Begitulah seterusnya sehingga perniagaan kenderaan terpakainya semakin berkembang dan mula dikenali ramai terutama dari mulut ke mulut, khususnya pelanggan pernah berurusniaga dengannya. Pinjaman pertama dengan AIM itu dibayar balik dalam tempoh tiga bulan.
“Sebenarnya, kenalan perniagaan saya, Ibrahim Johan yang mempunyai bengkel kereta mencadangkan membuka perniagaan kereta terpakai. Ibrahim membantu saya kerana ketika memulakan perniagaan. Saya memang tidak tahu langsung pasal kereta.
“Pada mulanya, saya tidak yakin tetapi selepas berjaya menjual kereta pertama dan melihat hasilnya, keinginan meneruskannya semakin kuat. Lebih-lebih lagi, apabila saya dapat membeli kali kedua kereta terpakai dan berjaya menjualnya dalam masa singkat. Dari situ saya lihat, peluang dalam industri perniagaan ini amat cerah,” katanya membuka cerita.
Shiella berkata, pada awalnya kereta terpakai yang dibeli terus dijual semula kepada pelanggan. Apabila sudah ada modal tambahan, Shiella dengan bantuan Ibrahim, akan memperbaiki terlebih dulu kereta terpakai itu sebelum dijual. Dengan cara itu ia bukan saja membuatkan pelanggan berpuas hati tetapi teruja memiliki ‘kereta baru’ yang dibeli daripada Shiella Enterprise.
Katanya, kereta terpakai berkenaan tidak diperbaiki ala kadar tetapi secara keseluruhan, sama ada keadaan fizikal di luar mahupun bahagian dalamnya. Ini termasuk menukar kusyen dan sarungnya, mengetuk bahagian yang kemek, mengecat semula dan menggantikan mana-mana bahagian yang rosak atau sudah tiada lagi seperti lampu, cermin sisi dan sebagainya.
Walaupun, perlu berbelanja lebih Shiella tetap gembira jika pelanggan berasa puas hati dan yakin dengan produk dijual. Paling penting, katanya, kepercayaan pelanggan yang berjaya diraih turut membantu meningkatkan perniagaannya.
“Saya lega, sehingga kini perniagaan saya tidak ada masalah besar. Malah, ketika perniagaan kereta terpakai di negara ini terjejas teruk suatu ketika dulu, saya masih mampu bertahan. Bagi saya, biar keuntungan diperoleh tidak terlalu banyak asalkan tidak rugi. Sebab itulah saya akan pastikan setiap kereta terpakai dibeli, dijual semula dalam keadaan baik dan mesti dijual sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu atau paling lama pun hanya sebulan. Prinsip saya berniaga juga mudah, pelanggan boleh tengok kereta berkenaan terlebih dulu dan mencubanya. Jika berpuas hati, mereka boleh bayar dan ambil bawa pulang,” jelasnya.
Ketika ditemui, Shiella masih mempunyai dua van dan lapan kereta terpakai yang bakal dijual termasuk Atos, Pajero, Proton Saga, Wira dan Mercedes Benz.
Ceritanya lagi, apabila perniagaan kereta terpakai sudah stabil, pinjaman AIM sekali lagi dibuat, pada 2010 dan kali ini digunakan sebagai modal bagi memulakan perniagaan menyediakan perkhidmatan menyewa lori.
Perniagaan perkhidmatan menyediakan lori diusahakan juga berjalan lancar dan sehingga kini, ibu tunggal dua anak itu mempunyai lima lori sewa dan juga enam kereta sewa. Perniagaan sampingan itu memberikan kehidupan lebih selesa dan membolehkannya mengumpul beberapa aset untuk masa depannya.
“Sejak 2009 hingga tahun ini, saya membuat enam kali pinjaman dengan AIM. Semua pinjaman itu saya bayar dalam tempoh hanya setahun dan setakat ini, paling tinggi pinjaman dibuat ialah RM20,000. Insya-Allah, saya akan buat lagi pinjaman RM40,000 dari AIM untuk besarkan lagi perniagaan. Permohonan pinjaman itu sudah pun diluluskan. Saya bercita-cita mempunyai ruang pameran yang lebih komprehensif sekurang-kurangnya, pada hujung tahun ini supaya dapat letak banyak kereta terpakai untuk dijual kepada pelanggan,” katanya penuh bersemangat.
Shiella memberitahu, pada masa ini ruang letak kereta terpakai yang ingin dijual amat terhad dan sehingga kini masih mengharapkan Majlis Daerah Selayang meluluskan permit berniaga dan meletakkan kereta terpakai yang ingin dijual di kawasan itu.
Katanya, kawasan itu amat strategik dan kebanyakan pelanggan sudah pun mengenali perniagaannya. Justeru, jika boleh Shiella ingin kekal terus berniaga di situ dan tidak kisah jika Majlis Daerah mewajibkannya membayar permit.
Mengenai kaedah pinjaman diperkenalkan kerajaan melalui AIM, Shiella berkata amat bersyukur sekali kerana ia memberinya peluang untuk berjaya dalam perniagaan.
“Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini. Dari pinjaman modal yang kecil, saya berjaya besarkan perniagaan dengan bantuan pinjaman dari AIM tanpa perlu buat kertas kerja dan meletakkan syarat yang sukar dipenuhi.
“Kaedah pinjaman diperkenalkan AIM benar-benar membantu usahawan Bumiputera seperti saya. Lebih beruntung, saya bukan saja mendapat pinjaman modal tetapi juga diberikan kursus dan pelbagai pembelajaran mengenai keusahawan dan sentiasa disuntik semangat memajukan diri.
“Sebelum ini saya buka salun tetapi sukar berkembang dan membuatkan saya putus asa. Bank juga tidak luluskan pinjaman kerana tiada potensi untuk maju. Apabila mendapat tahu mengenai AIM, saya terus menghubunginya dan membuat pinjaman. Bermula dari situlah ia dapat mengubah taraf hidup saya sekeluarga,” katanya yang kini menjadi Ketua Pusat AIM yang bertanggungjawab menjaga 60 usahawan dari Selayang dan Sri Gombak.
Pengalaman berlapar, dua kerja matangkan diri
TIDAK makan nasi selama seminggu, sebaliknya hanya mengalas perut dengan sekerat mi segera setiap hari, antara pahit getir pengalaman dilalui Sheilla, pada detik awal menetap di ibu negara untuk memulakan kehidupan baru.
Berasal dari Ayer Hitam, Johor, nekad meninggalkan dua anak di bawah jagaan ibunya selama tiga bulan selepas pelbagai kerja dilakukan di kampung, gagal mengubah hidupnya selepas bercerai.
Katanya, beliau perlu menyara dua anaknya dengan bekerja di kedai pasu di kampungnya dengan pendapatan RM500 sebulan.
Pada waktu malam pula, beliau bekerja di kedai makan dengan bayaran RM15 sehari. Bekerja siang malam, pendapatannya masih tidak cukup menyebabkan Shiella nekad mengubah nasib berhijrah di ibu negara.
“Saya pernah tak makan nasi selama seminggu dan hanya bertahan dengan mi segera untuk mengalas perut. Beli mee segera lima bungkus, saya jadikan stok makanan untuk tujuh hari.
“Apabila keadaan saya sudah stabil, saya pujuk majikan supaya benarkan membawa anak bongsu tinggal bersama di bilik yang saya sewa. Mujur, majikan benarkan dan sekurang-kurangnya anak dapat membesar di depan mata,” katanya yang tidak pernah luput keperitan itu.
Mengimbas kenangan itu, beliau bercerita memulakannya bekerja di salun dengan pendapatan RM700 sebulan dan menyewa bilik.
Shiella juga masih ingat, setiap kali ada kesempatan balik ke kampung dia akan membawa anak pulang bersama untuk bertemu anak sulung. Sedihnya, setiap kali pulang ke kampung beliau harus berjalan kaki sejauh enam kilometer kerana rumahnya jauh ke dalam dan ketika itu kereta sewa pun tidak mampu dibayarnya.
Hidupnya, beransur-ansur bersinar apabila berjaya berjimat cermat dan mengumpul modal untuk membuka salun. Namun, perniagaan salun yang dibuka tidak mampu berkembang jauh lantas memikirkan membuka perniagaan lain.
Hari ini, Shiella tersenyum puas, malah anak sulungnya kini mengikuti kursus di Giat MARA dalam bidang penghawa dingin. Shiella berharap, anak sulungnya itu dapat membantunya menguruskan perniagaan apabila tamat belajar nanti.
No comments:
Post a Comment