Gabungan tradisi dan kontemporari menyerlahkan idea menawan.
Lipatan ombak, rekaan menarik bangkitkan busana The Look
KEANGGUNAN penampilan sebagai muslimah bergaya tidak hanya bersandarkan kepada pemilihan tudung serta busana yang sarat bertatahkan kilauan kristal. Ia sebaliknya bergantung kepada potongan busana serta keselesaan fabrik dan kesan kepada pemakainya.
Selain cara pembawaan dan bijak memilih mengikut keadaan dan majlis
dihadiri, individu juga perlu kreatif. Dan inilah menjadikan ia
mempesonakan. - Jeffry Arazmi, Pereka dan pemilik Idaman Hawa
Bersandarkan kepada ciri-ciri sedemikian serta tampil dengan rekaan
gaya tersendiri yang melambangkan ciri wanita sopan, manis dan memikat
serta cantik, koleksi fesyen The Look dari Idaman Hawa ternyata mampu
menyerlahkan aura si pemakai.Lihat saja busana yang dihasilkan ini - daripada busana sesuai gaya kasual, majlis rasmi mahu pun bersiar, menepati selera wanita yang mementingkan sopan tetapi pada masa sama mahu bergaya.
Pereka dan pemilik Idaman Hawa, Jeffry Arazmi berkata, suntikan imej seumpama itu memang sengaja diterapkan dalam koleksi rekaan kerana percaya, lambang wanita sopan boleh dilihat dan diungkapkan dengan cara berpakaian.
Jeffry berkata, apa yang pasti bagi menampilkan gaya santun dalam berpakaian, cara seseorang memperaga pakaian juga penting tidak kira sama ada memilih gaya ringkas, sederhana ataupun eksklusif.
“Selain cara pembawaan dan bijak memilih mengikut keadaan dan majlis dihadiri, individu juga perlu kreatif. Dan inilah menjadikan ia mempesonakan,” katanya yang memiliki butik beroperasi di Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Jeffry berkata, The Look adalah koleksi terkini dari jenama diketengahkan dan secara keseluruhan ia banyak menitikberatkan soal keselesaan kepada si pemakai, selain mengutamakan gaya kemasan serta potongan penuh tarikan.
Tambahnya, selain menampilkan keistimewaan dari segi potongan, penggunaan fabrik bermutu serta gandingan warna sepadan sama ada pada kain polos atau bercorak juga menjadi keutamaan.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dalam bidang ini, katanya perubahan rekaan fesyen pakaian muslimah agak drastik. Justeru, bagi koleksi baru itu Jeffry menitipkan rekaan busana idaman ramai wanita yang memilih gaya berlitup dan banyak menggunakan fabrik lycra, sutera serta sifon bagi menampilkan gaya lebih anggun dan penuh dengan ciri-ciri kewanitaan.
“Rata-rata wanita mahukan rekaan terkini justeru, saya sendiri berusaha mengetengahkan rekaan yang memenuhi cita rasa dan menepati gaya aliran masa kini. Dari segi gaya, saya tidak mengambil ikutan aliran di Timur Tengah seperti sering diketengahkan butik yang memperagakan pakaian Muslimah. Sebaliknya, saya mengadaptasikan ilham rekaan tradisi dan dipadankan dengan nilai kontemporari manakala sesetengahnya datang daripada fesyen terkenal di peringkat antarabangsa,” jelasnya turut memberitahu kebanyakan rekaan sesuai untuk melangkah ke pejabat atau mengendalikan urusan rasmi.
Kata Jeffrey, lebih senang memilih fabrik polos kerana sesuai untuk digayakan di mana-mana dan memberikan impak malar segar. Namun, untuk tidak mengecewakan penggemar yang inginkan sedikit sentuhan kemasan manik, terdapat juga koleksi yang memperlihatkan penataan gaya seumpama itu.
“Ada yang suka sulaman manik kerana menarik dengan kemasan tersendiri, jadi saya ketengahkan juga koleksi seperti ini tetapi dengan penggunaan hiasan manik yang begitu minimum. Bagaimanapun, untuk potongan lebih unik saya bereksperimen misalnya, memanfaatkan tujuh meter kain untuk membentuk ombak, lapisan atau lipatan pada pakaian berkenaan," katanya.
No comments:
Post a Comment