5.23.2012

Pesona santun

 
Gabungan tradisi dan kontemporari menyerlahkan idea menawan.
Gabungan tradisi dan kontemporari menyerlahkan idea menawan.
 
 Lipatan ombak, rekaan menarik bangkitkan busana The Look

KEANGGUNAN penampilan sebagai muslimah bergaya tidak hanya bersandarkan kepada pemilihan tudung serta busana yang sarat bertatahkan kilauan kristal. Ia sebaliknya bergantung kepada potongan busana serta keselesaan fabrik dan kesan kepada pemakainya.
Malah, andai si pemakai bijak memilih busana, biar sederhana tapi menarik, sudah cukup menjadi tarikan dan meninggalkan kesan bukan saja kepada tuan punya badan, tetapi menggamit pujian mereka yang memandangnya.
Selain cara pembawaan dan bijak memilih mengikut keadaan dan majlis dihadiri, individu juga perlu kreatif. Dan inilah menjadikan ia mempesonakan. - Jeffry Arazmi, Pereka dan pemilik Idaman Hawa
Bersandarkan kepada ciri-ciri sedemikian serta tampil dengan rekaan gaya tersendiri yang melambangkan ciri wanita sopan, manis dan memikat serta cantik, koleksi fesyen The Look dari Idaman Hawa ternyata mampu menyerlahkan aura si pemakai.

Lihat saja busana yang dihasilkan ini - daripada busana sesuai gaya kasual, majlis rasmi mahu pun bersiar, menepati selera wanita yang mementingkan sopan tetapi pada masa sama mahu bergaya.

Pereka dan pemilik Idaman Hawa, Jeffry Arazmi berkata, suntikan imej seumpama itu memang sengaja diterapkan dalam koleksi rekaan kerana percaya, lambang wanita sopan boleh dilihat dan diungkapkan dengan cara berpakaian.

Jeffry berkata, apa yang pasti bagi menampilkan gaya santun dalam berpakaian, cara seseorang memperaga pakaian juga penting tidak kira sama ada memilih gaya ringkas, sederhana ataupun eksklusif.
“Selain cara pembawaan dan bijak memilih mengikut keadaan dan majlis dihadiri, individu juga perlu kreatif. Dan inilah menjadikan ia mempesonakan,” katanya yang memiliki butik beroperasi di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Jeffry berkata, The Look adalah koleksi terkini dari jenama diketengahkan dan secara keseluruhan ia banyak menitikberatkan soal keselesaan kepada si pemakai, selain mengutamakan gaya kemasan serta potongan penuh tarikan.

Tambahnya, selain menampilkan keistimewaan dari segi potongan, penggunaan fabrik bermutu serta gandingan warna sepadan sama ada pada kain polos atau bercorak juga menjadi keutamaan.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dalam bidang ini, katanya perubahan rekaan fesyen pakaian muslimah agak drastik. Justeru, bagi koleksi baru itu Jeffry menitipkan rekaan busana idaman ramai wanita yang memilih gaya berlitup dan banyak menggunakan fabrik lycra, sutera serta sifon bagi menampilkan gaya lebih anggun dan penuh dengan ciri-ciri kewanitaan.

“Rata-rata wanita mahukan rekaan terkini justeru, saya sendiri berusaha mengetengahkan rekaan yang memenuhi cita rasa dan menepati gaya aliran masa kini. Dari segi gaya, saya tidak mengambil ikutan aliran di Timur Tengah seperti sering diketengahkan butik yang memperagakan pakaian Muslimah. Sebaliknya, saya mengadaptasikan ilham rekaan tradisi dan dipadankan dengan nilai kontemporari manakala sesetengahnya datang daripada fesyen terkenal di peringkat antarabangsa,” jelasnya turut memberitahu kebanyakan rekaan sesuai untuk melangkah ke pejabat atau mengendalikan urusan rasmi.

Kata Jeffrey, lebih senang memilih fabrik polos kerana sesuai untuk digayakan di mana-mana dan memberikan impak malar segar. Namun, untuk tidak mengecewakan penggemar yang inginkan sedikit sentuhan kemasan manik, terdapat juga koleksi yang memperlihatkan penataan gaya seumpama itu.

“Ada yang suka sulaman manik kerana menarik dengan kemasan tersendiri, jadi saya ketengahkan juga koleksi seperti ini tetapi dengan penggunaan hiasan manik yang begitu minimum. Bagaimanapun, untuk potongan lebih unik saya bereksperimen misalnya, memanfaatkan tujuh meter kain untuk membentuk ombak, lapisan atau lipatan pada pakaian berkenaan," katanya.

5.22.2012

Jerat jenayah siber

Jerat jenayah siber

Kanak-kanak yang melayari internet tanpa pengawasan boleh terdedah pengaruh negatif. - Gambar hiasan

Kanak-kanak yang melayari internet tanpa pengawasan boleh terdedah pengaruh negatif. - Gambar hiasan
VSeramai 70 peratus ibu bapa tak sedar anak terdedah pornografi dan jenayah lain internet

LAPORAN terkini dikeluarkan pihak CyberSecurity menunjukkan kadar jenayah siber di negara ini meningkat sehingga 88 peratus pada tahun lalu berbanding hanya 8.090 kes pada tahun sebelumnya.
Itu kes yang dilaporkan. Mungkin banyak lagi yang tidak dilaporkan dan jika diamati pasti jumlah berkenaan amat membimbangkan semua pihak.
Ibu bapa tidak tahu 25 peratus kanak-kanak dan remaja berbual dengan orang yang tidak dikenali dan hanya empat daripada 10 ibu bapa saja yang mengetahui apa yang dicari anak di internet. - Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Paling membimbangkan, isu jenayah siber mengheret pelbagai peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan remaja ke kancah berkenaan sehingga boleh meruntuhkan integriti generasi muda jika tidak dikekang.

Kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 18 tahun terdedah dengan gejala negatif dunia siber manakala 94 peratus pengguna internet di Malaysia adalah remaja.

Malah, laporan di akhbar tempatan, kebanyakan kes jenayah siber membabitkan remaja sekolah menengah hingga ke peringkat universiti sedang mereka sepatutnya mengetahui mengenai nilai kendiri yang perlu ada untuk melindungi diri daripada jenayah itu.

Ibu bapa mungkin tidak menduga perkara itu dan menganggap anak mereka bebas gejala terbabit. Namun, natijahnya amat menggerunkan kerana ia berkaitan akhlak remaja generasi kini yang sewajarnya ditatang dengan baik untuk mewarisi pemimpin, pada masa depan.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata bentuk kekeluargaan yang ada di negara ini menyumbang kepada corak integriti yang wujud kini terutama mengenai kebebasan menggunakan kemudahan siber.

Katanya, kepelbagaian bentuk perhubungan melalui dalam talian yang wujud hari ini seperti Facebook (fb), Twitter, Myspace, Youtube dan Yahoo menjadikan Malaysia adalah pengguna kelima tertinggi di Asia Pasifik.

“Ada pelbagai sebab kenapa mereka melayari internet. Antara alasan lazim untuk mendapat maklumat, pendidikan, berkomunikasi, urus niaga membabitkan kewangan, ada juga yang melakukan e-transaksi kerajaan, membeli-belah serta melakukan perkhidmatan awam.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu peka dan tahu apa dilakukan anak ketika mereka melayari internet kerana pelbagai sumber maklumat sama ada negatif atau positif boleh diperoleh dengan mudah,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja Keibubapaan Efektif Dalam Menangani Media Baru pada Seminar Pemerkasaan Integriti Keluarga, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Seminar itu bertujuan membincangkan mengenai pengaruh internet terhadap peneguhan integriti di kalangan generasi muda dengan tema ‘Anak-anak Berintegriti: Jaminan Kesejahteraan Keluarga dan Negara’ dianjurkan bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN.

Aminah berkata, 70 peratus ibu bapa tidak sedar anak mereka terdedah kepada pornografi dan 1/3 ibu bapa pula tidak tahu mengenai media sosial yang digunakan anak mereka setiap hari.

“Remaja dan kanak-kanak menghabiskan masa 4.5 jam sehari melayari internet dengan remaja lelaki mendahului remaja perempuan berhubung penggunaan bahan porno di internet. Ibu bapa tidak tahu anak mereka mengguna purata, 19 jam seminggu untuk membuat carian di internet.

“Kajian menunjukkan wujud kesan negatif daripada bentuk media baru ini. Ibu bapa tidak tahu 25 peratus kanak-kanak dan remaja berbual dengan orang yang tidak dikenali dan hanya empat daripada 10 ibu bapa saja yang mengetahui apa yang dicari anak di internet,” katanya.

Sehubungan itu, Aminah menegaskan, pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan bagi membendung gejala keruntuhan moral disebabkan media baru, pada masa sama mengukuhkan integriti dan jati diri remaja serta kanak-kanak di negara ini.

“Modul dirangka kerajaan membabitkan gembleng tenaga banyak pihak seperti ibu bapa dan pihak pentadbir. LPPKN sendiri menerusi program berbentuk kekeluargaan menekankan pembabitan ibu bapa untuk mengatasi gejala negatif ini.

“Antara program diadakan berasaskan Kemahiran Keibubapaan dan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PKRS), manakala elemen dalam modul adalah seperti mengawal kendiri remaja supaya tidak terpengaruh dengan unsur negatif dalam internet,” katanya.

Matlamat lain kempen berkenaan memberi kesedaran berhubung penggunaan internet yang selamat kepada pelajar, guru dan ibu bapa, selain beri maklumat lanjut berkenaan isu teknologi serta sosial berkaitan internet.

“Pelajar dan guru patut tahu cara gunakan internet dengan betul termasuk perlindungan dalam penggunaan internet. Penekanan secara holistik berdasarkan prinsip dan nilai murni membantu remaja dan kanak-kanak meneroka alam siber dengan lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon, berkata internet menyediakan memberi manfaat pengguna terhadap kemudahan kemudahan jaringan yang tersedia, namun jika disalahkan gunakan akan mendatangkan kesan negatif dan menjejaskan integriti diri.

Katanya, ia menjadi media sosial dalam talian, berinteraksi, berbincang dan menciptakan isi meliputi blog, jejaring sosial, wiki, forum dan dunia virtual.

“Andreas Kaplan dan Michael Haenlein mendefinisikan media sosial sebagai satu kelompok aplikasi berasas internet membangun di atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0. Ia memungkinkan penciptaan dan pertukaran kandungan - pengguna - penjana,” katanya pada membentangkan kertas kerja bertajuk Media Sosial: Kebaikan atau keburukan, Perspektif Integriti.

Sapora bersetuju ejen ‘perhubungan’ yang paling kerap digunakan pengguna internet pelbagai usia ialah seperti forum internet, weblog, blog sosial, microblogging, wiki, podcast, foto atau gambar, video dan jumlah akaun pengguna facebook di Malaysia pula hampir mencecah 10 juta.

Dalam erti kata lain, setiap satu daripada tiga rakyat di negara ini mempunyai akaun fb, lantaran bayangkan betapa jaringan perhubungan yang meluas ini di seluruh dunia terbentuk.

Bagaimanapun, tidak semua bijak menapis baik dan buruk, malah ada antaranya
dengan mudah memberi maklumat diri atau peribadi kepada rakan di alam maya tidak dikenali.

“Ada dedahkan alamat rumah, beri butir akaun termasuklah sebarang maklumat yang tidak sepatutnya dikongsi dengan orang yang tidak dikenali.

“Kebaikan blog menjadi tempat perbincangan di ruang komen dari pelbagai lokasi di seluruh dunia ialah ia melatih kemahiran menulis walaupun pelbagai bahasa. Melatih seni kemahiran reka digital, terutama mereka blog, kod atau ‘blog skin.’ Bahkan blog juga menjadi tempat menyampaikan idea, gagasan atau tugasan,” katanya.

Cuma, ibu bapa perlu memantau anak supaya kemudahan yang dijana daripada internet itu diguna dengan tujuan bermanfaat bukan terjerat dengan pelbagai masalah keruntuhan sosial.

Katanya, internet sering dijadikan medan menyampai maklumat palsu, fakta salah dan berunsur fitnah, memburuk-burukkan seseorang seperti tokoh politik atau selebriti, menyebarkan maklumat tidak berguna untuk mendapatkan keuntungan besar daripada iklan di blog.

“Penggunaan internet juga menggalakkan penyamaran dengan tidak memaparkan nama dan wajah sebenar, menyebarkan maklumat lucah, imej porno, fail digital berkaitan maklumat palsu, fakta salah dan berunsur fitnah.

“Bahkan ada memaparkan aib keluarga dengan menulis rasa tidak puas hati di laman fb atau blog dan sepatutnya dielakkan,” katanya.

5.21.2012

Tauke auto

Tauke auto


  • Foto
  • Ibrahim (kanan) kini menjadi rakan perniagaan Shiella yang banyak membantunya mengenai kereta.
  •  
  •  
  •  
  • Foto
Foto


















'Biar untung sikit, asal tak rugi'
BERMULA dengan menjual sebuah kereta terpakai dan bermodalkan RM3,000, Zamanila Tukimin, 40, atau lebih dikenali sebagai Shiella kini mempunyai 10 kali ganda daripada jumlah itu untuk terus mengembangkan perniagaan kereta terpakainya.
Shiella memulakan perniagaan kereta terpakai, Shiella Enterprise pada 2009 sebaik saja mendapat modal RM3,000 yang dipinjam dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Pinjaman pertama beliau terus beli sebuah kereta terpakai Iswara, yang kemudian dijual semula.
Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini. Daripada pinjaman modal yang kecil, saya berjaya besarkan perniagaan dengan bantuan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia tanpa perlu buat kertas kerja dan syarat yang sukar dipenuhi. - Zamanila Tukimin (Shiella), Ahli perniagaan
Hampir sebulan mencari pelanggan, akhirnya kereta itu berjaya dijual pada harga RM6,000. Hasil jualan itu diguna membeli dua lagi kereta. Kali ini Shiella tidak perlu menunggu lama, sebaliknya dalam tempoh dua minggu dua kereta berkenaan dapat dijual.

Menggunakan hasil jualan itu sekali lagi, Shiella membeli kereta terpakai dengan jumlah berganda dan menjualnya. Begitulah seterusnya sehingga perniagaan kenderaan terpakainya semakin berkembang dan mula dikenali ramai terutama dari mulut ke mulut, khususnya pelanggan pernah berurusniaga dengannya. Pinjaman pertama dengan AIM itu dibayar balik dalam tempoh tiga bulan.

“Sebenarnya, kenalan perniagaan saya, Ibrahim Johan yang mempunyai bengkel kereta mencadangkan membuka perniagaan kereta terpakai. Ibrahim membantu saya kerana ketika memulakan perniagaan. Saya memang tidak tahu langsung pasal kereta.

“Pada mulanya, saya tidak yakin tetapi selepas berjaya menjual kereta pertama dan melihat hasilnya, keinginan meneruskannya semakin kuat. Lebih-lebih lagi, apabila saya dapat membeli kali kedua kereta terpakai dan berjaya menjualnya dalam masa singkat. Dari situ saya lihat, peluang dalam industri perniagaan ini amat cerah,” katanya membuka cerita.
Shiella berkata, pada awalnya kereta terpakai yang dibeli terus dijual semula kepada pelanggan. Apabila sudah ada modal tambahan, Shiella dengan bantuan Ibrahim, akan memperbaiki terlebih dulu kereta terpakai itu sebelum dijual. Dengan cara itu ia bukan saja membuatkan pelanggan berpuas hati tetapi teruja memiliki ‘kereta baru’ yang dibeli daripada Shiella Enterprise.

Katanya, kereta terpakai berkenaan tidak diperbaiki ala kadar tetapi secara keseluruhan, sama ada keadaan fizikal di luar mahupun bahagian dalamnya. Ini termasuk menukar kusyen dan sarungnya, mengetuk bahagian yang kemek, mengecat semula dan menggantikan mana-mana bahagian yang rosak atau sudah tiada lagi seperti lampu, cermin sisi dan sebagainya.

Walaupun, perlu berbelanja lebih Shiella tetap gembira jika pelanggan berasa puas hati dan yakin dengan produk dijual. Paling penting, katanya, kepercayaan pelanggan yang berjaya diraih turut membantu meningkatkan perniagaannya.

“Saya lega, sehingga kini perniagaan saya tidak ada masalah besar. Malah, ketika perniagaan kereta terpakai di negara ini terjejas teruk suatu ketika dulu, saya masih mampu bertahan. Bagi saya, biar keuntungan diperoleh tidak terlalu banyak asalkan tidak rugi. Sebab itulah saya akan pastikan setiap kereta terpakai dibeli, dijual semula dalam keadaan baik dan mesti dijual sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu atau paling lama pun hanya sebulan. Prinsip saya berniaga juga mudah, pelanggan boleh tengok kereta berkenaan terlebih dulu dan mencubanya. Jika berpuas hati, mereka boleh bayar dan ambil bawa pulang,” jelasnya.

Ketika ditemui, Shiella masih mempunyai dua van dan lapan kereta terpakai yang bakal dijual termasuk Atos, Pajero, Proton Saga, Wira dan Mercedes Benz.

Ceritanya lagi, apabila perniagaan kereta terpakai sudah stabil, pinjaman AIM sekali lagi dibuat, pada 2010 dan kali ini digunakan sebagai modal bagi memulakan perniagaan menyediakan perkhidmatan menyewa lori.

Perniagaan perkhidmatan menyediakan lori diusahakan juga berjalan lancar dan sehingga kini, ibu tunggal dua anak itu mempunyai lima lori sewa dan juga enam kereta sewa. Perniagaan sampingan itu memberikan kehidupan lebih selesa dan membolehkannya mengumpul beberapa aset untuk masa depannya.

“Sejak 2009 hingga tahun ini, saya membuat enam kali pinjaman dengan AIM. Semua pinjaman itu saya bayar dalam tempoh hanya setahun dan setakat ini, paling tinggi pinjaman dibuat ialah RM20,000. Insya-Allah, saya akan buat lagi pinjaman RM40,000 dari AIM untuk besarkan lagi perniagaan. Permohonan pinjaman itu sudah pun diluluskan. Saya bercita-cita mempunyai ruang pameran yang lebih komprehensif sekurang-kurangnya, pada hujung tahun ini supaya dapat letak banyak kereta terpakai untuk dijual kepada pelanggan,” katanya penuh bersemangat.

Shiella memberitahu, pada masa ini ruang letak kereta terpakai yang ingin dijual amat terhad dan sehingga kini masih mengharapkan Majlis Daerah Selayang meluluskan permit berniaga dan meletakkan kereta terpakai yang ingin dijual di kawasan itu.

Katanya, kawasan itu amat strategik dan kebanyakan pelanggan sudah pun mengenali perniagaannya. Justeru, jika boleh Shiella ingin kekal terus berniaga di situ dan tidak kisah jika Majlis Daerah mewajibkannya membayar permit.

Mengenai kaedah pinjaman diperkenalkan kerajaan melalui AIM, Shiella berkata amat bersyukur sekali kerana ia memberinya peluang untuk berjaya dalam perniagaan.

“Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini. Dari pinjaman modal yang kecil, saya berjaya besarkan perniagaan dengan bantuan pinjaman dari AIM tanpa perlu buat kertas kerja dan meletakkan syarat yang sukar dipenuhi.

“Kaedah pinjaman diperkenalkan AIM benar-benar membantu usahawan Bumiputera seperti saya. Lebih beruntung, saya bukan saja mendapat pinjaman modal tetapi juga diberikan kursus dan pelbagai pembelajaran mengenai keusahawan dan sentiasa disuntik semangat memajukan diri.

“Sebelum ini saya buka salun tetapi sukar berkembang dan membuatkan saya putus asa. Bank juga tidak luluskan pinjaman kerana tiada potensi untuk maju. Apabila mendapat tahu mengenai AIM, saya terus menghubunginya dan membuat pinjaman. Bermula dari situlah ia dapat mengubah taraf hidup saya sekeluarga,” katanya yang kini menjadi Ketua Pusat AIM yang bertanggungjawab menjaga 60 usahawan dari Selayang dan Sri Gombak.

Pengalaman berlapar, dua kerja matangkan diri

TIDAK makan nasi selama seminggu, sebaliknya hanya mengalas perut dengan sekerat mi segera setiap hari, antara pahit getir pengalaman dilalui Sheilla, pada detik awal menetap di ibu negara untuk memulakan kehidupan baru.

Berasal dari Ayer Hitam, Johor, nekad meninggalkan dua anak di bawah jagaan ibunya selama tiga bulan selepas pelbagai kerja dilakukan di kampung, gagal mengubah hidupnya selepas bercerai.

Katanya, beliau perlu menyara dua anaknya dengan bekerja di kedai pasu di kampungnya dengan pendapatan RM500 sebulan.

Pada waktu malam pula, beliau bekerja di kedai makan dengan bayaran RM15 sehari. Bekerja siang malam, pendapatannya masih tidak cukup menyebabkan Shiella nekad mengubah nasib berhijrah di ibu negara.

“Saya pernah tak makan nasi selama seminggu dan hanya bertahan dengan mi segera untuk mengalas perut. Beli mee segera lima bungkus, saya jadikan stok makanan untuk tujuh hari.

“Apabila keadaan saya sudah stabil, saya pujuk majikan supaya benarkan membawa anak bongsu tinggal bersama di bilik yang saya sewa. Mujur, majikan benarkan dan sekurang-kurangnya anak dapat membesar di depan mata,” katanya yang tidak pernah luput keperitan itu.

Mengimbas kenangan itu, beliau bercerita memulakannya bekerja di salun dengan pendapatan RM700 sebulan dan menyewa bilik.

Shiella juga masih ingat, setiap kali ada kesempatan balik ke kampung dia akan membawa anak pulang bersama untuk bertemu anak sulung. Sedihnya, setiap kali pulang ke kampung beliau harus berjalan kaki sejauh enam kilometer kerana rumahnya jauh ke dalam dan ketika itu kereta sewa pun tidak mampu dibayarnya.

Hidupnya, beransur-ansur bersinar apabila berjaya berjimat cermat dan mengumpul modal untuk membuka salun. Namun, perniagaan salun yang dibuka tidak mampu berkembang jauh lantas memikirkan membuka perniagaan lain.

Hari ini, Shiella tersenyum puas, malah anak sulungnya kini mengikuti kursus di Giat MARA dalam bidang penghawa dingin. Shiella berharap, anak sulungnya itu dapat membantunya menguruskan perniagaan apabila tamat belajar nanti.